Dalam perkembangan dunia kesusasteraan di negara ini deretan sembilan orang penulis lelaki telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN). Namun begitu tidak ada seorang pun daripadanya di kalangan wanita. Inilah permasalahan yang berlaku dalam dunia kesusasteraan kita pada hari ini di mana panel hadiah berprestij itu seolah-olah tidak menghiraukan sumbangan para penulis wanita.
Komitmen para penulis wanita kita telah terbukti sejak dahulu lagi. Mereka tidak berhenti menyumbang dalam setiap bidang penulisan seperti puisi, cerpen, novel dan drama.
Nama-nama besar seperti Zurinah Hassan, Fatimah Busu, Zaharah Nawawi dan Prof. Siti Zainon Ismail adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan negara. Adalah tidak adil jika sekiranya pihak panel penilai anugerah SN menidakkan keupayaan para penulis wanita kita masa kini.
Zurinah Hassan misalnya telah menghasilkan tujuh buah antologi puisi. Antologi tersebut ialah Sesayup Jalan, Di Sini Tiada Perhentian, KL dan Athor Place, Keberangkatan, Pujangga Tidak Bernama, Nota Waktu dan Salasiah. Beliau juga menulis dua buah antologi cerpen iaitu Meneruskan Perjalanan dan Menjelang Pemilihan di samping sebuah novel iaitu Hatimu Aisyah. Zurinah juga telah menghasilkan dua buah kajian iaitu Sasterawan Negara Usman Awang dan Memoir Zurinah Hassan.
Manakala Zaharah Nawawi pula telah menghasilkan sembilan buah novel iaitu Sebelum Berakhirnya Musim Bunga, Jalur Sinar Membelah Daun, Pesisir Hitam, Selamat Datang Adzie Faraha, Menuju Ke Puncak, Panglima Saleh Selempang Merah, Anugerah, Hujan Sudah Teduh dan Haruman Kencana. Beliau juga menghasilkan empat buah novel kanak-kanak iaitu Ebe Dan Eme, Mencari Hujan Emas, Wira Anak Berjasa dan Ke mana Wira dan telah berjaya menghasilkan kira-kira 200 buah cerpen yang telah di siarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah tanah air.
Fatimah Busu pula telah menghasilkan empat buah novel iaitu Ombak Bukan Biru, Kepulangan, Salam Maria, The Missing Piece I manakala Fatimah Busu juga mempunyai lima buah antologi cerpen iaitu Lambaian Tanah Hijau, Yang Abadi, Al-Israk, Keajaiban Alam dan Bunga-Bunga Pulau. Beliau juga telah berjaya menghasilkan ratusan cerpen termasuk 56 buah antologi bersama pelukis lain dan mempunyai sebuah antologi puisi iaitu Apa Ada Di Sana-Versi Dunia. Buku kajian tulisan Fatimah ialah Proses Penulisan Kreatif- Memupuk Bakat dan Minat, Penulisan Kreatif-Teori dan Proses dan Ciri-Ciri Satira dalam Novel-Novel Melayu serta Afrika Moden-Suatu Kajian Perbandingan. Beliau juga giat dalam penulisan drama serta teater keliling. Antara skrip teater arahannya ialah Biduan Dari Neraka dan Jahanam yang pernah dipentaskan oleh Grup Teater Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Gerimis Pagi.
Sementara itu, Prof. Siti Zainon Ismail pula telah menghasilkan 11 buah kumpulan antologi puisi, antologi cerpen (lima) dan novel (dua) di samping enam buah judul karya ilmiah terutamanya yang berhubungan dengan kesenian dan busana dunia Melayu. Sumbangan Siti Zainon telah terpilih menerima Anugerah Budayawan Selangor baru-baru ini.
Memandangkan keterlibatan yang serius oleh keempat-empat orang penulis wanita ini dalam menghasilkan karya-karya bermutu, maka sudah sampai masanya segala pengorbanan mereka ini dinilai oleh panel anugerah SN supaya mereka juga ikut terpilih untuk menerima anugerah. Kita tidak mahu anugerah berprestij itu hanya dibolot di kalangan penulis-penulis lelaki sahaja.
Memanglah,jika ditanya siapa aku yang pandai-pandai hendak mengkritik dunia sastera negara ini,aku memang bukan siapa-siapa. Tetapi,aku punya hasrat dalam hati yang xpernah orang ketahui. Impian aku sejak kecil selain daripada menjadi seorang pensyarah adalah aku ingin sekali meletakkan namaku sebaris dengan A.Samad Said,Baha Zain dan SN yang lain. Selalu juga aku bayangkan namaku diiktiraf sebagai wanita pertama yang dianugerahkan gelaran tersebut. Mungkin pada tika aku sudah matang nanti,golongan wanita sudah boleh diberi kelayakan tersebut. Doakan saja...
Semoga pemilihan anugerah SN yang akan datang akan ada penulis wanita yang diiktiraf bagi memartabatkan sumbangan mereka kepada dunia kesusasteraan negara.
No comments:
Post a Comment